Monday, November 9, 2009

Kenapa Hanya Bersatu Di atas Pentas Bukan Politik? BERSATULAH...

Posted by People's Unity Alliance of Malaysia

TERLEBIH dahulu penulis ingin memohon maaf kerana tidak berkesempatan untuk berkongsi bisikan hati bersama para pembaca sejak seminggu lepas kerana bercuti panjang sempena Deepavali bersama seisi keluarga.

Jika dibandingkan dengan sambutan Deepavali sebelum ini, walaupun sambutan tahun ini tidak semeriah tahun – tahun yang lepas tetapi tradisi kiriman ucapan melalui sms , kad ucapan, menghantar buah tangan ke rumah dan kata- kata semangat dari kawan – kawan rapat dengan kita- sudah tentu memeriahkan lagi suasana perayaan Deepavali tahun ini.

Penulis juga ingin mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan ribuan terimakasih dan penghargaan kepada semua rakan dan kenalan yang menghantar salam Deepavali dengan apa cara sekalipun.

Malah ada kawan – kawan yang sanggup tunggu untuk sambutan Deepavali bagi menganjurkan rumah terbuka “ Deeparaya ” secara serentak. Inilah dikatakan semangat perpaduan dan hubungan silaturahim yang akrab yang sudah lama terjalin di Malaysia. Penulis menghargai pengorbanan dan semangat setiakawan ini.

Bercakap mengenai Deepavali tahun ini, penulis tertarik juga apabila dengar lebih daripada 10 ribu tetamu mengunjungi rumah terbuka Deepavali anjuran MIC yang dianjurkan buat pertama kalinya di PWTC.

Biasanya, kita dengar rumah terbuka ini dianjurkan atas nama Datuk Seri S.Samy Vellu, tapi kali ini penjenamaan semula nama tersebut bukan sahaja menceriakan majlis berkenaan malah memberikan suntikan semangat yang baru kepada MIC setelah kemenangan yang berbaloi di Pilihanraya Kecil Bagan Pinang baru – baru ini.

Walaupun tidak bergelar Menteri lagi, Samy Vellu tetap nampak gah dan ceria melayan tetamu yang hadir. Di sebalik pelbagai kecaman dan kritikan yang dilemparkan ke atasnya, namun masih ramai yang kagum dengan semangat “luar biasa” yang dimiliki oleh Presiden MIC ini yang telah memimpin parti tersebut selama 30 tahun.

Penulis juga sempat menjengkuk apa yang berlangsung disana buat seketika bersama rakan – rakan lain. Perdana Menteri , Timbalan Perdana Menteri termasuk beberapa Menteri kabinet lain, Ketua – Ketua parti komponen BN dan wakil dari pembangkang juga turut hadir – dalam satu suasana yang cukup meriah melambangkan semangat Satu Malaysia.

Ketika berada di Dewan Merdeka , seorang tetamu yang hadir bertanya kepada kepada penulis, “alangkah baiknya kalau masyarakat India dapat bersatu demi kebaikan dan kesejahteraan lebih 2.1 juta masyarakat India di Malaysia. Kenapa mereka tak nak bersatu ? Kenapa kita asyik nak menuding jari di antara satu sama lain?” katanya.

Walaupun saya tidak mengenalinya secara rapat, tetapi bisikan hati serta suara hatinya dapat saya fahami. Malah saya sempat berkata kepadanya “Kita medoakan yang terbaik kepada tuhan yang maha kuasa dan kita berharap semoga masyarakat India akan kembali bersatu,” sebelum beredar dari Dewan Merdeka.

Bagi saya, segalanya perlu bermula dari rumah. Bak kata pepatah Melayu, “buang yang keruh ambil yang jernih”. Kita perlu tanamkan semangat kekitaaan, kekeluargaan, keprihatinan dan keikhlasan sesama kita.

Kalau kita asyik menuding jari sesama kita, akhirnya siapa yang rugi?

Bersama dan Bersatulah dalam musim perayaan. Sepertimana kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa konsep 1 Malaysia bermula dari Perpaduan. Tapi semangat perpaduan ini perlu bermula dari rumah.

Hindarkanlah , buangkanlah segala sikap- sikap negatif seperti kebencian, sombong, pentingkan diri sendiri , kurang ajar dan sebagainya. Kerana sifat – sifat inilah yang akan meracuni pemikiran seseorang individu.

Sentiasa berterimakasih dan bersyukur kepada tuhan dengan apa yang telah diberikan kepada kita. Berusahalah dengan gigih, tekun dan rajin untuk mencapai cita – cita kita dan juga negara. Tidak ada jalan pintas di dunia ini untuk mendakap kejayaan. Segalanya perlu diusahakan.

Sampai bila lagi kita nak berpuak ? Sampai bila lagi masyarakat India akan berpecah kepada banyak kumpulan dan parti ? Sampai bila kita nak tengok perang politik antara Datuk Seri S.Samy Vellu dan Datuk S. Subramaniam? Rakyat sudah muak dengan ini semua.

Masanya sudah tiba untuk Samy dan Subra untuk memikirkan mengenai masa depan masyarakat India dalam konteks yang lebih besar. Memang tidak dapat dinafikan gandingan Samy dan Subra ini boleh membawa satu nafas baru untuk masyarakat India sekiranya mereka bersatu dan bersama.

Samy Vellu pun sudah menyatakan hasratnya untuk bersara dalam tempoh masa yang terdekat ini. Cuma beliau mahu memperkukuhkan kembali MIC sebelum bersara. MIC sebagai tunggak utama masyarakat India di negara ini perlu mencari satu “formula perpaduan untuk masyarakat India” dalam tempoh masa terdekat ini.

Dan bercakap mengenai bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S.Subramaniam pula – beliau juga memiliki kehebatannya tersendiri. Jika tidak masakan beliau menjadi timbalan untuk satu tempoh yang panjang. Dan dalam pemilihan parti baru-baru ini, undi yang diperolehi Subramaniam tidak susut ke paras tidak popular sebaliknya ada orang berkata, beliau kalah kerana wujudnya pertandingan tiga penjuru.

Pada masa yang sama, penulis terharu dengan majlis yang dianjurkan oleh Dewan Perdagangan dan Perindustrian India Malaysia ( MAICCI ) yang bertemakan “ UNITY in DIVERSITY” yang di rasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor baru – baru ini di PWTC.

Buat julung kalinya majlis tersebut menghimpunkan semua parti yang mewakili masyaratat India termasuk MIC, PPP, IPF, Kimma dan semua NGO, badan – badan kebajikan serta persatuan–persatuan India dari seluruh negara atas nama perpaduan.

Malah, Perdana Menteri juga kelihatan tergamam seketika sebelum berucap kerana sebanyak 108 kalungan bunga malai dikalungkan kepadanya oleh semua pemimpin masyarakat India yang hadir – bermula dari Samy Vellu hingga ke semua pemimpin di peringkat akar umbi yang mewakili masyarakat India.

Tahniah dan syabas kepada Presidenya Datuk K.K.Iswaran yang berjaya menghimpunkan semua masyarakat India diatas satu platform yang cukup cantik sekali sehingga Perdana Menteri juga nampak begitu bersemangat sekali dan menyifatkan majlis tersebut merupakan satu lembaran sejarah yang baru.

Saya kira bukan sahaja saya tetapi seluruh masyarakat India Malaysia yang rasional mahu melihat ungkapan perpaduan ini bukan sahaja berkumandang setakat di bibir dan di majlis-majlis keramaian yang dianjurkan.

Malah rakyat bertanya jika semua yang berbeza fahaman politik ini boleh bersatu pada pentas bukan politik, seperti majlis rumah terbuka dan majlis anjuran NGO, kenapa mereka tidak boleh bersatu dalam pentas politik.

Bersatulah...demi kebaikan dan kesejahteraan masyarakat India Malaysia.

B.ANBUMANI adalah seorang penganalis politik dan sosial



Comment Form