Monday, November 9, 2009

Pupuk perpaduan melalui sukan - Rosmah

Posted by People's Unity Alliance of Malaysia

ARKIB : 08/11/2009

Pupuk perpaduan melalui sukan - Rosmah


PARA penerima Anugerah Gemilang SSBJ dari kiri, Muhd. Adden Idrakie, Ng Shin Yii, Norashikin Kamalzaman dan Foong Foo Mun gembira selepas menerima Anugerah Gemilang 2009 SSBJ di Kuala Lmpur, kelmarin.



KUALA LUMPUR - Bidang sukan adalah pentas dan wadah terbaik bagi memperkukuhkan perpaduan kaum serta memupuk semangat cintakan negara selaras dengan gagasan 1Malaysia.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor justeru berharap, Kementerian Pelajaran memastikan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) mencapai matlamat itu selain objektif penubuhannya 13 tahun lalu.

Beliau berkata, kewujudan SSBJ yang melatih generasi muda untuk cemerlang dalam bidang sukan seharusnya menjadi pendekatan berkesan dalam mencapai matlamat tersebut.

''Saya berharap budaya majmuk ini dapat diamalkan dan diterjemahkan dengan baik di SSBJ bukan sahaja di kalangan pelajar malah semua peringkat,'' katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Young Olympian Nite dan penyampaian Anugerah Gemilang 2009 SSBJ di sini, kelmarin.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Rosmah berkata, semua pihak perlu melihat semula sukan secara lebih menyeluruh demi masa depan bidang itu.

''SSBJ telah wujud selama 13 tahun dan berjaya menabur bakti dan jasa yang tidak ternilai kepada negara. Maka saya rasa tiba masa kita perlu membuat satu lonjakan berganda.

''Diharap Kementerian Pelajaran dapat melihat dari perspektif lebih luas dan terbuka supaya SSBJ berada di landasan lebih ampuh dan betul,'' katanya.

Jelas Rosmah, beliau juga tidak mahu sekolah sukan terus dianggap sebagai sekolah kelas kedua berbanding sekolah akademik.

''Kita perlu membuat pendekatan yang lebih tersusun dengan kurikulum yang cenderung memenuhi objektif sebuah sekolah sukan,'' katanya.

Di majlis itu, Rosmah turut menyampaikan Anugerah Gemilang 2009 sekolah tersebut kepada atlet-atletnya yang cemerlang dalam pelbagai aspek.



Comment Form