Monday, November 9, 2009

Sekolah Satu Aliran

Posted by People's Unity Alliance of Malaysia

Sumber : Utusan Malaysia Online

ARKIB : 05/11/2009

Polemik sekolah satu aliran

JIKA belum sedia satu aliran
Sekolah wawasan perkasakanlah dulu
Angkuh dan sombong elok elakkan
Demi keselamatan anak dan cucu

SEORANG pensyarah kanan di sebuah universiti terkemuka berkata, sekolah satu aliran itu sudah pasti akan meningkatkan tahap permuafakatan di kalangan pelajar, tetapi adakah ia dipersetujui oleh penduduk bukan Melayu?

Itulah inti polemik sekolah satu aliran yang tercetus kembali berikutan saranan Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim yang kemudian bergema pada perbahasan di Dewan Rakyat.

Isu ini telah pun ditimbulkan lebih setengah abad lalu. Ertinya, sebelum merdeka, isu ini telah jadi perdebatan.

Perbezaan pendapat tentang masalah pendidikan pernah hampir melumpuhkan UMNO apabila parti itu diboikot oleh guru-guru Melayu yang menjadi tulang belakangnya pada akhir 1950-an. Begitu juga yang dialami oleh MCA. Penyelesaian dan kesepakatan pelbagai pihak tentang isu-isu pendidikan sebenarnya dirumuskan dalam Penyata Razak (1956) dan disemak serta diperhalusi dalam Penyata Rahman Talib (1960).

Sebenarnya sejak dua tiga tahun lalu, Kay Kim dan beberapa tokoh politik UMNO telah menimbulkan kembali isu sekolah satu aliran ini.

Antaranya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pada penghujung tahun 2008. Polemik ini muncul kembali apabila Datuk Mukhriz Mahathir menggesa pelaksanaannya semasa kempen merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO awal tahun ini. Seruan itu disambut positif oleh beberapa tokoh termasuk Kay Kim sendiri dan Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn. Bhd, Datuk A. Kadir Jasin.

Sewaktu merasmikan “Seminar Satu Malaysia: Kesinambungan Satu Perjuangan” pada Julai lalu, Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhujah tentang keperluan sistem pendidikan disatu dan dipertemukan pada peringkat lebih tinggi sebagai pra syarat untuk mencapai matlamat 1Malaysia.

Ahmad Zahid merujuk Penyata Pelajaran Razak sebagai “roh penyatuan kepelbagaian” yang wajar dihormati dan dilaksanakan demi mencapai perpaduan kebangsaan.

Saranan dan seruan agar sekolah satu aliran dilaksanakan memang banyak. Dan suara yang menentang juga tidak kurang hebatnya.

Antara yang lantang menentang ialah MCA dan sejak akhir-akhir ini, MIC juga “tumpang sekaki”.

Mereka mendakwa sekolah pelbagai aliran sekarang tidak menghalang usaha mewujudkan perpaduan nasional. Lebih dari itu mereka mahu supaya kebebasan memilih dipertahankan dalam satu masyarakat yang majmuk.

Berdiri kuat di belakang MCA menentang konsep sekolah satu aliran ini ialah Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong) dan Gabungan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zhong).

Tentu Perdana Menteri sangat mafhum dengan kecenderungan Dong Zhong dan Jiao Zhong yang selalu mengintip apa MCA buat. Pada hemat saya, kerana itulah maka Datuk Seri Najib Tun Razak sangat berhati-hati agar tidak terjebak atau terperangkap dalam “polemik” sekolah aliran.

Kerana itu, mungkin lebih baik jika untuk sementara waktu, konsep Sekolah Wawasan diperkasa dan pelaksanaannya diperluaskan. Untuk masa ini, rasanya itulah yang lebih praktikal.


ialah Felo Penyelidik Kanan (Pelawat),
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.">


ARKIB : 05/11/2009

Victoria Institution contoh sekolah satu aliran

GAGASAN 1Malaysia tidak mungkin terlaksana tanpa penubuhan sekolah satu aliran. Bagaimana mungkin ia terjadi jika 12 tahun kanak-kanak berada di satu tempat iaitu: 1 tahun di peringkat prasekolah, 6 tahun sekolah rendah dan kemudian 5 tahun di sekolah menengah.

Bayangkanlah betapa akrabnya hubungan antara kaum jika sejak berumur 6 tahun mereka dapat bergaul mesra sehingga tingkatan 5 ketika mereka berumur 18 tahun.

Inilah ramuan atau formula paling mujarab untuk membentuk bangsa Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Pemimpin-pemimpin politik yang mewakili tiga kaum terbesar di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India mestilah jujur dan komited mahu benar-benar melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Janganlah hanya mementingkan kaum masing-masing tanpa mengutamakan kepentingan negara. Kita amat kecewa apabila anak-anak pergi ke sekolah yang berbeza, ibu bapa dan guru juga terpisah mengikut kaum kerana memilih sekolah yang berbeza atas kepentingan kaum masing-masing.

Sebenarnya model Sekolah Wawasan yang pernah dicadangkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah model sekolah satu aliran yang paling praktikal.

Sebenarnya orang Cina dan India pun amat berminat dengan sekolah satu aliran ini tetapi para pendidik di kalangan kaum-kaum tersebut yang mempunyai sentimen perkauman yang amat menebal yang menentang idea yang baik ini.

Lihat sahaja Sekolah Victoria Institution (sekolah VI) yang merupakan contoh terbaik Sekolah Satu Aliran di negara ini.

Lihat sahaja semua ibu bapa dari kaum Melayu, Cina dan India berlumba-lumba mahu menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah itu.

Lihat sahaja bagaimana mesranya pelajar-pelajar dari ketiga-tiga kaum bergaul mesra dan bersaing secara sihat dalam pelajaran.

Guru-guru, staf juga mempunyai komposisi ketiga-tiga kaum ini. Begitu juga dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru juga diwakili oleh ketiga-tiga kaum.

Lihat sahaja betapa seronoknya pelajar bergaul mesra semasa bersukan dan apa juga kokurikulum yang lain.

Sekolah VI ini juga cemerlang dalam akademik. Mengapa semua ibu bapa dari kaum Melayu, Cina dan India amat berminat dengan sekolah VI ini sedangkan ia adalah model sekolah satu aliran?

Kerajaan terutamanya Menteri Pelajaran wajar mengkaji model sekolah VI ini dan menjadikannya sebagai asas atau model untuk membentuk sekolah satu aliran di negara ini.

Setakat ini sekolah VI amat popular dan menjadi rebutan pelajar serta ibu bapa daripada semua kaum.

Mengapa sekolah VI sebagai sekolah satu aliran begitu berjaya dan dan mendapat sokongan semua kaum ?


SEKOLAH SATU ALIRAN
Kuala Lumpur">



ARKIB : 04/11/2009

Istimewanya sekolah satu aliran

SAYA tidak tahu atas dasar apa MIC, MCA dan Gerakan membantah dasar sekolah satu aliran. Jika bantahan ini dibuat atas dasar perkauman dan kepentingan politik semata-mata maka bukankah itu dengan jelasnya memaparkan betapa mentaliti para politikus-politikus ini sangat rendah?

Saya memperoleh pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tasek Gelugor dari tahun 1990-1996. Ketika saya memasuki darjah satu, terdapat hanya tujuh orang murid keturunan India sahaja kerana kebanyakan ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Tamil dan Cina.

Kesemua kami tujuh orang ini dilihat ‘pelik’ ketika itu. Saya masih ingat, guru kelas (darjah satu hingga darjah tiga), Suriani Othman, memaksa kami untuk duduk dengan murid Melayu. Kami tidak dibenarkan untuk berbahasa Tamil dengan kawan seagama sewaktu sesi kelas berjalan. Jika melanggar arahan ini, akan didenda sepuluh sen! Apa yang kelihatan sebagai suatu paksaan ketika itu mematangkan kami untuk berani bergaul dan memahami budaya masyarakat Melayu. Terima kasih cikgu.

Berbekalkan kebenaran ibu bapa masing-masing, kami belajar tulisan jawi dan seminggu sekali ustazah akan menghiburkan kami dengan kisah nabi-nabi dan rasul Islam. Malah, kami pada satu peringkat sudah mampu menghafal doa yang dibacakan sewaktu perhimpunan sekolah dan kadang-kadang terikut-ikut membaca bersama-sama murid beragama Islam.

Antara subjek kegemaran kami semua ialah Pendidikan Muzik. Manakan tidak, setiap minggu ada saja tarian tradisional yang akan kami belajar.

Rentetan dari situlah saya mula meminati lagu-lagu tradisional seperti Ulik Mayang dan Puteri Santubong. Saya jatuh cinta terhadap lagu-lagu nyanyian penyanyi pujaan saya, Sanisah Huri.

Berkongsi makan minum dengan pinggan dan cawan yang sama ketika itu adalah suatu perkara yang amat biasa. Tiada sentimen ‘awak Melayu, saya India’. Yang ada cumalah satu perhubungan yang tulus dan menyeronokkan.

Malah, setiap tahun sewaktu menyambut kehadiran Syawal, semua murid akan berbaris dan bersalaman memohon maaf dengan guru kelas.

Seingat saya, setiap tahun guru kelas saya akan memberi duit raya lima puluh sen kepada kami. Selepas Hari Raya, jamuan akan diadakan di kelas. Di situlah kami mengenali ketupat, lontong, dodol, rendang daging arnab dan pelbagai juadah masakan Melayu.

Persepsi kononnya menghantar anak ke sekolah kebangsaan atau membiarkannya bergaul dengan bangsa lain akan melunturkan semangat cintakan bahasa ibundanya adalah suatu pemikiran yang amat jahat. Saya fasih berbahasa, membaca dan menulis dalam bahasa Tamil. Pada masa yang sama, saya menghargai segenap keindahan budaya, adat dan kepercayaan yang bukan sahaja merangkumi budaya Hindu tetapi juga Melayu.

Ini memori sewaktu di sekolah kebangsaan. Saya tidak dapat bayangkan betapa seronoknya jika ketika itu terdapat sekolah satu aliran.

Apakah salah jika saya berhasrat membesarkan anak-anak saya kelak dengan sistem pendidikan sekolah satu aliran yang bertunjangkan semangat kebangsaan? Apakah salah jika saya mahukan anak-anak saya mempelajari tarian zapin mahupun joget.

Apakah anak-anak saya tidak layak untuk menikmati semua ini hanya disebabkan pandangan serong segelintir politikus terhadap sekolah satu aliran ini?


Butterworth, Pulau Pinang">



ARKIB : 04/11/2009

Belajar di satu sekolah - Tun M

KUALA LUMPUR 3 Nov. - "Untuk menjadi bangsa Malaysia, sekurang- kurangnya belajarlah untuk pergi ke sekolah yang sama." Itulah luahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan cadangan mewujudkan sekolah satu aliran di negara ini.

Beliau berkata, jika dibandingkan dengan negara-negara jiran, masyarakat pelbagai kaum di negara ini diberikan begitu banyak kebebasan dan menikmati kadar toleransi yang amat tinggi terutama daripada masyarakat Melayu.

"Di Filipina, jangan harap hendak ada sekolah Cina atau India. Di Indonesia pun jangan harap, di Thailand belajar guna bahasa Thailand, nama pun kena tukar, di sini semuanya bebas, tetapi paling kurang pergilah ke sekolah yang sama," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pertunjukan seni Rhythm of the 21st Century - Monologues of Raja Shahriman.

Beliau mengulas cadangan agar sistem persekolahan satu aliran diperkenalkan di negara ini.

Kata Dr. Mahathir, beliau merupakan pemimpin yang pernah mencadangkan penubuhan Sekolah Wawasan yang mengekalkan semua ciri-ciri sekolah pelbagai aliran tetapi hanya berkongsi kemudahan sekolah sahaja secara bersama.

Namun, cadangan itu pun ditolak sepenuhnya.

Masalahnya kata beliau, ia berpunca daripada golongan pendidik Cina yang mahu menjadikan pendidikan aliran mereka umpama di negara China.

Katanya, golongan pendidik Cina kalau boleh tidak mahu anak-anak Cina bersentuh pun anak-anak kaum lain terutama Melayu.

"Tidak ada negara di dunia ini yang mengamalkan sistem tiga aliran," katanya.

Beliau juga menyatakan sokongan padu terhadap cadangan untuk mewujudkan sekolah satu aliran berkenaan kerana perpaduan yang terbaik akan hanya dapat dibentuk melalui pendidikan.



ARKIB : 07/11/2009

Henti berbalah isu pendidikan - PM

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, beliau tidak mahu melihat wujudnya perbalahan dalam masyarakat terhadap isu sistem pendidikan negara yang dianggap sensitif kepada rakyat Malaysia.

Perdana Menteri berkata, ini kerana hasrat murni kerajaan melaksanakan sesuatu dasar boleh menjadi tidak bermakna langsung jika semua rakyat tidak bersedia menerima dan mengamalkannya.

"Ketika masyarakat masih mempunyai perasaan bertentangan dan agak keberatan membuat keputusan bersama itu, saya tidak ingin ada perbalahan yang timbul dalam masyarakat kita kerana perkara yang sangat sensitif ini," katanya di dalam blog www.1Malaysia.com.my.

Najib mengulas mengenai cadangan melaksanakan sistem sekolah satu aliran yang sebelum ini menerima pelbagai reaksi berbeza daripada banyak pihak.

Beliau berkata, sistem pendidikan negara akan bertukar kepada sekolah satu aliran hanya apabila rakyat bersedia dan hanya jika ia dikehendaki oleh semua pihak.

Katanya, walau ke mana sahaja arah perbahasan mengenai isu tersebut, kenyataan yang perlu diterima semua pihak adalah sistem pendidikan negara telah digubal dari sudut pandangan bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk memilih pendidikan mereka di negara ini.

Menurutnya, ia merupakan satu harapan kepada rakyat selepas negara merdeka dan kerajaan yang memerintah telah pun mengambil tindakan berhubung apa yang menjadi hasrat semua rakyat itu.

"Sejak sekian lama dan hampir dalam setiap keadaan, isu berkaitan dengan sistem pendidikan yang ideal sentiasa dipolitikkan.

"Sebagai Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia, saya berpandangan bahawa kita semua mesti mencari keseimbangan.

"Marilah kita sama-sama beringat bahawa pada akhirnya, isunya adalah untuk memastikan supaya masa hadapan generasi kita, kepimpinan masa hadapan kita, berupaya mendapat pendidikan yang terbaik," katanya.

Kata Perdana Menteri, beliau telah mendengar ramai yang mahukan pertukaran kepada sistem sekolah satu aliran sebagai satu cara meningkatkan perpaduan dan integrasi di kalangan rakyat.

"Saya juga ada mendengar ramai yang begitu bertegas akan hak untuk memilih berdasarkan sistem pendidikan sekarang. Saya telah mendengar kedua-dua pendapat yang berbeza ini dan menerimanya," katanya.

Justeru, katanya, semua pihak perlu secara bersama-sama bersetuju akan satu sistem yang memberi kebaikan kepada semua rakyat dan mendukung nilai-nilai yang dijunjung.

"Sudahkah kita bersedia untuk menjauhkan diri daripada hak untuk memilih dan berkompromi?

"Dalam menyampaikan sudut pandangan kita, sudahkah kita memikirkan tentang pandangan-pandangan lain yang berbeza itu?" katanya.

ARKIB : 02/11/2009

Sekolah landasan terbaik pupuk perpaduan

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Idea penubuhan sekolah satu aliran perlu dilaksanakan segera kerana ia mampu memupuk semangat perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, tiada jalan lain untuk menyemai dan mewujudkan asas perpaduan kecuali di peringkat sekolah terutama yang melibatkan satu aliran.

"Sekolah adalah permulaan di mana kanak-kanak mudah untuk menerima dan melaksanakan segala yang telah dipelajari," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersedia mewujudkan sekolah satu aliran di negara ini jika rakyat mahukannya.

Tegas Perdana Menteri, dalam melaksanakan dasar itu, kehendak rakyat perlu diambil kira kerana kerajaan tidak mahu ia menyebabkan perbalahan dan kesan buruk kepada masyarakat.

Minggu lalu, tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim mencadangkan agar sekolah satu aliran diperkenalkan di negara ini kerana ia mampu menyumbang terhadap perpaduan masyarakat pelbagai kaum.

Mohamad Ali berkata, jika perpaduan telah disemai dalam jiwa rakyat negara ini sejak kecil, sudah tentu masyarakat akan hidup dalam keadaan yang harmoni tanpa sebarang sengketa.

"Pelaksanaannya juga selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan dalam usaha memperkasakan sekolah kebangsaan serta menyemai semangat penyatuan dan persefahaman di kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan sekolah satu aliran tidak akan menyebabkan kehilangan identiti kaum tertentu malah ia akan menyemai semangat perpaduan yang kuat di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

"Masyarakat daripada pelbagai kaum masih boleh mengekalkan penggunaan bahasa ibunda mereka walaupun belajar di sekolah satu aliran," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Ibrahim Hussin turut menyatakan sekolah adalah permulaan untuk anak-anak belajar dan bergaul dengan rakan-rakan mereka yang lain.

"Apabila nilai perpaduan diterapkan dalam jiwa kanak-kanak semasa di sekolah, maka keharmonian dan nilai perpaduan semua kaum akan dapat diperkuatkan di peringkat akar umbi lagi," katanya.

Tambahnya, kerajaan perlu memberi peluang untuk mewujudkan sekolah satu aliran dan menjadikan ia sebagai satu identiti masyarakat yang harmoni di negara ini yang selaras dengan gagasan 1Malaysia.

"Sekolah satu aliran dapat mewujudkan integrasi antara kaum di kalangan pelajar, guru dan juga ibu bapa selain memupuk semangat keharmonian di negara ini," katanya.

Jelasnya, soal politik tidak seharusnya timbul dalam bidang pendidikan yang menjadi asas kepada perpaduan kaum di negara ini.

ARKIB : 03/11/2009

Sekolah satu aliran tidak mustahil dilaksanakan

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Cadangan penubuhan sekolah satu aliran tidak mustahil dilaksanakan jika semua pihak melupakan kepentingan politik demi perpaduan negara.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Syed Ali Al-Habshee berkata, beliau menyokong cadangan itu tetapi menyifatkan pelaksanaannya amat sukar kerana banyak pihak masih mempertahankan kepentingan sendiri.

Setakat ini, katanya, terdapat banyak pandangan berbeza disuarakan yang menggambarkan cadangan itu sukar dilaksanakan kerana masih terdapat ramai pihak yang menentang.

''Semua pihak menyokong idea 1Malaysia tetapi tidak mahu menerima cadangan ini untuk menjaga kepentingan politik mereka agar terus mendapat sokongan daripada kaum masing-masing.

''Bagaimanapun, ia bukanlah satu yang mustahil jika masyarakat sanggup melupakan kepentingan politik dan ingin berubah demi perpaduan negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Bengkel Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini hari ini.

Program tersebut akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dengan disertai seramai 52 pelajar cemerlang dari tujuh buah sekolah di sekitar Cheras.

Sementara itu bercakap mengenai program tersebut, Syed Ali berkata, Program Bengkel Kecemerlangan SPM 2009 ini dapat meningkatkan pengetahuan dan semangat pelajar untuk menduduki peperiksaan tersebut.

''YPC berjanji akan memberi insentif RM1,000 kepada setiap seorang pelajar sekolah di kawasan Cheras yang mendapat keseluruhan A dalam SPM nanti.

''Ini adalah suntikan semangat kepada mereka untuk lebih bersungguh-sungguh dan berkeyakinan menghadapi peperiksaan itu,'' katanya.

ARKIB : 02/11/2009

Sekolah satu aliran, sukar tapi tak mustahil

ISU berkaitan dengan sekolah satu aliran kembali dibincangkan. Beberapa hari lalu, beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang dilaporkan sepakat menyokong cadangan tokoh sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim agar sistem persekolahan yang seragam diwujudkan untuk semua pelajar sebagai satu usaha mewujudkan perpaduan nasional.

Alasannya ialah sistem yang ada sekarang tidak membantu merealisasikan perpaduan di kalangan pelbagai kaum selaras dengan gagasan 1Malaysia. Sekolah pula dilihat sebagai antara acuan yang penting untuk membina generasi muda yang memahami dan saling menghormati antara satu dengan yang lain tanpa mengira bangsa dan agama.

Mungkin kita patut melihat sokongan wakil-wakil rakyat sebagai satu permulaan yang positif untuk membuka ruang perbincangan dan tindakan selanjutnya. Satu perkara yang pasti untuk merealisasikan sekolah satu aliran memerlukan pengorbanan semua pihak.

Syarat utama bagi membolehkan idea tersebut dibincang, diperhalusi dan dilaksanakan ialah kesediaan pemimpin-pemimpin setiap kaum mengetepikan soal 'kebanggaan' dan kepentingan kaum mereka dan melihat faedah sekolah satu aliran secara holistik.

Jika tidak ada kesediaan tersebut kita boleh melupakan terus sebarang idea berkenaan dengan sekolah satu aliran.

Jika di kalangan pejuang-pejuang pendidikan masih mementingkan kaum masing-masing dan menutup minda mereka untuk melihat dan memahami agenda yang jauh lebih besar iaitu perpaduan nasional maka sebarang idea dan perbincangan berkaitan dengan sekolah satu aliran adalah sia-sia.

Matlamat penubuhan sekolah satu aliran perlu jelas iaitu untuk perpaduan nasional yang tulen, sejati dan harmoni selari dengan gagasan 1Malaysia. Kita jangan hanya bersemangat apabila bercakap tentang 1Malaysia tetapi terdiam apabila terpaksa berkorban untuk sesuatu agenda yang jauh lebih besar.

Tugas yang paling rumit ialah untuk mewujudkan penerimaan golongan tertentu yang mewakili kaum yang selama ini dilihat begitu ekstrem, sangat sensitif dan mudah melatah dengan isu pendidikan. Mereka ini sentiasa tidak bersetuju dengan sebarang bentuk reformasi pendidikan yang menyentuh kepentingan sempit bangsa mereka. Namun, jika kena strategi atau caranya sekolah satu aliran mampu mendapat sokongan semua pihak dan dapat dilaksanakan.

Kerajaan juga perlu mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat berbilang kaum bahawa kewujudan sekolah satu aliran bukan bertujuan untuk menghapuskan identiti sesuatu kaum. Sekolah satu aliran perlu diterima sebagai wahana untuk membentuk identiti dan jati diri rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Identiti dan jati diri setiap kaum akan terus wujud sebagai komponen penting yang mewarnai perpaduan sejati 1Malaysia.

Rakyat berbilang bangsa juga harus faham bahawa waima bahasa pengantar di sekolah satu aliran adalah bahasa Melayu, sekolah juga akan mengekalkan hak-hak setiap rakyat untuk mempelajari bahasa ibunda dan kebudayaan masing-masing.

Apa yang lebih penting ialah sekolah satu aliran akan menyediakan satu persekitaran di mana remaja berbilang kaum bukan sahaja boleh melalui proses pembelajaran dengan selesa tetapi juga menyediakan ruang yang secukupnya untuk mereka berinteraksi dan memahami di antara satu dengan yang lain.

Ini adalah kerana dalam proses menuju ke arah sebuah negara maju dalam erti kata yang sebenarnya, sifat saling memahami perasaan dan sensitiviti di kalangan rakyat berbilang kaum akan menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial.

Kita tidak harus menafikan bahawa kesan sistem sekolah pelbagai aliran ialah timbulnya polarisasi kaum yang tidak menyumbang kepada perpaduan di kalangan rakyat. Melalui sekolah satu aliran, jangka masa berbelas tahun belajar dan bergaul bersama-sama akan mampu menghasilkan generasi yang lebih bersatu padu. Ia adalah resipi yang sangat penting bagi Malaysia untuk menempuh dekad-dekad akan datang yang lebih mencabar.

Jika perkataan 'sekolah satu aliran' menimbulkan kerisauan maka pihak kerajaan harus menggunakan lain-lain terma seperti 'Sekolah 1Malaysia' atau "Sekolah Untuk Semua" dalam usaha mencari titik tolak ke arah penerimaannya di kalangan rakyat serta 'pejuang-pejuang' bangsa yang wujud di kalangan rakyat.

Saya ingin mencadangkan agar ada pihak yang sanggup mengadakan persidangan bagi membincangkan sekolah satu aliran dengan lebih terperinci. Dengan hanya menyatakan sokongan sahaja kita tidak akan ke mana-mana.

Persidangan yang melibatkan semua pihak yang berkepentingan wajar diadakan. Ia akan membolehkan pandangan semua pihak dibincang dan manfaat sekolah satu aliran diterangkan dengan sejelas-jelasnya kepada semua pihak.

Tidak mustahil draf yang berkaitan dengan sekolah satu aliran juga dapat dibangunkan sebagai permulaaan kepada sesuatu yang bakal memberikan impak terhadap perpaduan rakyat Malaysia.

Jika kita semua menghargai perpaduan di kalangan rakyat Malaysia dalam jangka masa panjang seharusnya isu sekolah satu aliran tidak wajar dibiarkan kembali sejuk. Pihak-pihak yang berkaitan wajar sekali mengerakkan perbincangan lanjut.


Fakulti Pengurusan Perniagaan
Universiti Teknologi Mara Perlis">

Sekolah satu aliran asas perpaduan

KEGAGALAN menzahirkan sekolah satu aliran selepas lebih setengah abad negara mencapai kemerdekaan adalah manifestasi “perpaduan” di negara ini. Usaha membina dan menyuburkan perpaduan menjadi begitu retorik apabila asasnya pada sekolah satu aliran tidak berupaya dilakukan.

Ini kerana sesetengah pemimpin politik masih terkepung dengan sentimen melulu tentang identiti kaum hingga menolak teras pembinaan sebuah negara bangsa.

Isu sekolah satu aliran yakni tidak ada sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil bukan perkara baru. Isu ini telah dibangkitkan sejak lama dulu oleh pihak yang melihat kepentingan perpaduan melampaui sentimen kaum. Tetapi malangnya ada kalangan pemimpin politik Melayu tidak berani mengambil risiko politiknya. Sementara kalangan pemimpin politik bukan Melayu pula melihat ini sebagai penghapusan identiti kaum masing-masing.

Sekolah satu aliran iaitu sekolah kebangsaan bukan sekolah Melayu tetapi sekolah untuk semua kaum. Sekarang ini pun orang Melayu tidak mempunyai sekolah sendiri berbanding Cina dan India yang mempunyai sekolah jenis kebangsaan. Pemimpin politik bukan Melayu gagal mewaraskan kaum mereka bahawa sekolah satu aliran adalah sekolah semua anak Malaysia.

Sebenarnya kegusaran atau sengaja kelihatan gusar bahawa sekolah satu aliran akan menghapuskan identiti kaum adalah suatu yang melulu. Kalau benar sekalipun sekolah satu aliran menghapuskan identiti kaum mereka sepatutnya lebih memikirkan perpaduan dalam negara pelbagai kaum. Perpaduan di mana-mana negara sekalipun adalah tunggak kemajuan. Tidak ada perpaduan bermakna tidak ada kemajuan yang berterusan. Tetapi hakikat dan falsafah sekolah satu aliran di negara ini sama sekali tidak ke arah menghapuskan identiti mana-mana kaum.

Sekolah satu aliran akan membina kebanggaan bersama sebagai warganegara apabila menggunakan bahasa pengantar yang sama iaitu bahasa Melayu, sistem pembelajaran yang sama dan menikmati kemudahan pendidikan yang sama. Persamaan inilah yang menjadi titik mula bagi seseorang warganegara menganggap tiada perbezaan walaupun berlainan kaum. Inilah yang dinamakan perpaduan.

Orang bijak pandai ada berkata, kalau mahu melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maknanya masa kecil lagi diasuh hidup dan berinteraksi dengan kaum lain, menggunakan satu bahasa dan memahami budaya rakan sebaya. Tetapi hal ini tidak akan berlaku kalau diberi kelonggaran orang Cina dan India mempunyai sekolah pengantar bahasa ibunda sendiri. Hanya orang Melayu saja yang mengisi sekolah kebangsaan, itu bukan sekolah orang Melayu.

Ungkapan “perpaduan” menjadi semakin memualkan apabila kalangan pemimpin politik tidak berani bertegas untuk membina perpaduan. Perpaduan menjadi barang mainan dan kita telah membuang banyak tenaga dan masa untuk mengisi retorik perpaduan sedangkan kita tidak berani membina asas perpaduan yang kukuh.

Perpaduan tidak boleh tercapai hanya dengan berkempen dengan slogan semata-mata. Perpaduan bukan benda yang boleh ditampal tetapi mesti tumbuh dan subur secara semulajadi.

Melampaui

Sekolah satu aliran harus dilihat melampaui kepentingan politik yang sempit dan sengkek, tidak kiralah sama ada kalangan Melayu atau bukan Melayu. Modul perpaduan menerusi sekolah satu aliran ini tidak wajar dikorbankan hanya kerana mahu menjaga kepentingan dalam politik.

Apakah maknanya kejayaan dan kepentingan politik kalau selepas setengah abad mencapai kemerdekaan kita tidak menggapai perpaduan? Ini satu kegagalan berpolitik sebenarnya.

Gelombang isu yang menjurus kepada sekolah satu aliran kali ini agak hebat. Kalau dibandingkan dengan sebelum ini, kali ini seolah-olah membawa petanda kewarasan kalangan pemimpin politik Melayu, bukan Melayu dan juga kalangan pembangkang. Biarpun ada kalangan pemimpin politik bukan Melayu dan badan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu yang jumud tetapi nada yang lain memperlihatkan keyakinan.

Walau apa sekalipun, gelombang politik Melayu mesti menjadi peneraju supaya gagasan sekolah satu aliran menjadi kenyataan. Tanpa berpaksikan kepada sentimen kaum, pemimpin politik Melayu tidak ada alasan untuk menangguh perlaksanaan sekolah satu aliran. Kalau mereka berkata belum sampai masanya, katakan secara tegas bila masa yang sesuai untuk sekolah satu aliran? Rakyat sudah tidak mahu lagi sikap cuci tangan dan berdolak dalik.

Selepas politik Melayu gagal meletakkan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan, apakah mereka juga mahu mencipta kegagalan untuk membina asas perpaduan dengan sekolah satu aliran?

Apabila bahasa Melayu menjadi bahasa ketiga atau keempat di negara ini, masa depan sekolah kebangsaan juga akan senasib dengan bahasa Melayu.

Apakah kita masih boleh bercakap tentang “perpaduan kaum” kalau semua warganegara hanya memahami dan mengenali kaum lain selepas mereka di alam pekerjaan? Ini kerana masa kanak-kanak mereka telah dipisahkan oleh sistem pendidikan yang membenarkan sekolah berdasarkan kaum? Meminjam gelombang sekolah satu aliran kali ini yang agak besar, semua pihak mesti mencari kewarasan dengan mengenepikan perjuangan politik kaum yang sempit. Kita perlu kembali menelaah Penyata Razak (1956) yang menekankan tentang peri pentingnya bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan untuk membina perpaduan kalangan pelbagai kaum. Kalangan bukan Melayu mesti diyakinkan bahawa sistem dan dasar pendidikan negara ini tidak pernah mempunyai agenda menghapuskan identiti kaum bukan Melayu.

Di sekolah kebangsaan mereka masih boleh mempelajari bahasa ibunda masing-masing. Agenda utama sekolah satu aliran adalah membina asas perpaduan dan kalau tidak ada asas, berkurunlah kita akan bercakap perkara yang sama tanpa sebarang hasil.



Sumber : Utusan Malaysia Online

ARKIB : 30/10/2009

MIC dan MCA tidak setuju sekolah satu aliran

30/10/2009 7:52pm

KUALA LUMPUR 30 Okt. — MIC dan MCA menentang cadangan melaksanakan sistem pendidikan satu aliran, dengan mengatakan bahawa sekolah jenis kebangsaan yang ada sekarang tidak akan menghalang usaha ke arah mewujudkan perpaduan nasional.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini berkata, sekiranya cadangan itu dikemukakan dalam usaha menjalin perpaduan kaum, ada banyak cara lain lagi untuk melakukannya dan bukan melalui sistem pendidikan satu aliran.

"Bagi sekolah Tamil, pelajar (India) akan berpeluang bergaul dengan kanak-kanak daripada kaum lain apabila mereka memasuki sekolah menengah,” katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan cek bernilai RM1 juta kepada lebih 50 kuil Hindu di sini.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong berpendapat sistem persekolahan pelbagai aliran patut diteruskan kerana ia tidak akan menjejaskan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk negara ini.

"Ia bukan penghalang kepada perpaduan nasional, sebaliknya bantu menerapkan semangat bersatu padu di kalangan masyarakat majmuk,” kata Wee kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemuda MCA di Wisma MCA hari ini.

Dr. Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, walaupun bahasa pengantar di sekolah pelbagai aliran bukannya bahasa kebangsaan namun ia tidak menggugat pelajar untuk menghayati konsep 1Malaysia.



Comment Form