Monday, November 9, 2009

Pertahankan kepelbagaian budaya untuk perpaduan kaum

Posted by People's Unity Alliance of Malaysia

Sumber : Utusan Malaysia Online

ARKIB : 10/10/2009


Ismail Abdul Muttalib (kiri) melayan tetamu pada majlis Mesra Aidilfitri peringkat Parlimen Maran di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Maran, Pahang, baru-baru ini. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD

MARAN 9 Okt. - Kepelbagaian bangsa, budaya dan fahaman agama di negara ini merupakan keunikan yang perlu dipertahankan sebagai asas perpaduan oleh setiap rakyat.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, kepelbagaian yang mencakupi ciri-ciri budaya dan etnik itu sangat menarik untuk dieksploit secara positif untuk memakmurkan lagi negara bagi mencapai matlamat Wawasan 2020.

Menurut beliau, kepelbagaian itu tidak harus dijadikan penyebab kepada kaum tertentu untuk menjauhkan diri atau berasa tersisih daripada arus pembangunan.

''Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menepati hasrat kerajaan untuk membudayakan semangat taat setia dan berkhidmat secara jujur kepada negara.

''Sejak gagasan itu diperkenalkan, semangat dan gaya bekerja semua kaum kini lebih berfokus kepada usaha mencapai tahap perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan yang tinggi,'' katanya.

Beliau berucap pada majlis Mesra Aidilfitri dan meraikan bakal-bakal haji dalam Parlimen Maran di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai 80 bakal haji dan 235 anak-anak yatim menerima sumbangan daripada Ismail.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil, ADUN Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin, ADUN Jengka, Wan Salman Wan Ismail dan Pegawai Daerah Maran, Fadzilla Salleh.

Ismail mengingatkan rakyat supaya berwaspada dengan mainan pihak tertentu yang cuba menggugat perpaduan kaum yang sedia terjalin.

''Untuk menghancurkan tamadun sesebuah negara, ia memerlukan masa singkat sedangkan bagi memakmurkan negara, ia mengambil masa puluhan malah ratusan tahun," jelasnya.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya bersyukur kerana negara ini bebas daripada bencana alam yang dahsyat sebagaimana berlaku di negara-negara jiran sejak akhir-akhir ini.



Comment Form